Pada tahun lalu atau sebelumnya, beberapa penulis telah menggesa orang percaya untuk melihat kembali “perbendaharaan kata” bagi iman kita. Sebagai contoh, seorang penulis menekankan bahawa istilah-istilah Kristian yang kaya boleh hilang kesannya, terutama apabila ia terlalu biasa digunakan sehingga kita kehilangan erti Injil yang mendalam dan keperluan kita akan Tuhan. Apabila itu berlaku, dia mencadangkan bahawa kita perlu mempelajari semula bahasa iman dari awal dan meninggalkan andaian-andaian sehingga kita dapat melihat Berita Baik untuk kali pertama.

Jemputan untuk belajar menceritakan tentang Tuhan dari permulaannya mengingatkan saya tentang Paulus yang telah mengabdikan hidupnya untuk “menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang … Semua itu [dilakukannya] untuk Berita Baik” (1 Korintus 9:22–23). Dia tidak pernah menganggap dirinya benar-benar mengetahui bagaimana untuk menyatakan pekerjaan Yesus. Sebaliknya dia bersandar kepada doa yang tidak putus-putus dan memohon kepada orang percaya lain agar berdoa bagi dia untuk membantunya mencari “apa yang harus [dikatakannya]” (Efesus 6:19) bagi tujuan berkongsi Berita Baik.

Rasul Paulus juga tahu bahawa setiap orang yang baru percaya kepada Yesus perlu terus merendahkan diri dan lebih berakar dalam kasih-Nya setiap hari (3:16–17). Hanya dengan memperdalam akar kita dalam kasih Tuhan, barulah kita dapat menyedari kebergantungan kita kepada Tuhan setiap hari. Hal ini membolehkan kita mendapatkan kata-kata yang tepat untuk berkongsi kepada orang lain tentang apa yang telah dilakukan Tuhan untuk kita.