Liz menitiskan air mata kegembiraan apabila dia dan suaminya menerima sijil kelahiran dan pasport anak mereka, yang menunjukkan proses pengambilan anak angkat telah sah di sisi undang-undang. Kini Milena akan selamanya menjadi anggota keluarga ini dan anak perempuan mereka. Ketika Liz merenungkan proses pengangkatan anak tersebut, timbul dalam fikirannya tentang “pertukaran sebenar” yang berlaku ketika kita menjadi anggota dalam keluarga Yesus: “Kita tidak lagi diikat oleh dosa dan kebinasaan yang kita warisi ketika kita lahir ke dunia.” Sebaliknya kita masuk ke dalam kepenuhan Pemerintahan Tuhan secara sah ketika diangkat menjadi anak-anak-Nya.

Pada zaman rasul Paulus, jika sebuah keluarga berbangsa Roma mengambil anak angkat lelaki, statusnya di sisi undang-undang akan ditukar sepenuhnya. Sebarang hutang daripada kehidupan lamanya dibatalkan dan dia akan memperoleh kesemua hak serta keistimewaan keluarga barunya. Paulus mahu orang Roma yang percaya kepada Yesus memahami bahawa mereka pun memiliki status yang baru ini. Mereka tidak lagi diikat oleh dosa dan hukuman tetapi kini mereka hidup “menurut kehendak Roh Allah” (Roma 8:4). Malah setiap orang yang dipimpin oleh Roh sudah diangkat menjadi anak-anak Tuhan (ayat 14–15). Status sah mereka berubah apabila mereka menjadi warga syurga.

Jika kita telah menerima anugerah keselamatan, kita juga sudah menjadi anak-anak Tuhan yang mewarisi Pemerintahan-Nya dan bersatu dengan Kristus. Hutang kita telah dibatalkan oleh anugerah pengorbanan Yesus. Kita tidak perlu lagi hidup dalam ketakutan atau menantikan penghakiman Tuhan.