Tasik Baikal ialah tasik terdalam di dunia, luas dan mengagumkan. Dengan kedalaman 1.61km ke bawah dan kepanjangan 636km serta kelebaran 79km, ia mengandungi seperlima air tawar di dunia ini. Tetapi sebahagian besar air ini tidak boleh diperoleh. Ini kerana Tasik Baikal terletak di Siberia, salah satu kawasan terpencil di Rusia. Dengan keperluan bumi yang sangat mendesak terhadap air, ironiknya sumber bekalan air yang begitu besar tersorok di tempat yang tidak ramai orang boleh mendapatkannya.

Walaupun kedudukan Tasik Baikal terpencil, ada sumber air yang dapat memberikan hidup, yang tidak pernah kehabisan serta sentiasa tersedia bagi setiap orang yang memerlukannya. Ketika Yesus duduk di pinggir perigi di Samaria, Dia berbual-bual dengan seorang wanita dan melihat kehausan rohaninya yang dalam. Apakah penyelesaian bagi keperluannya? Dia memerlukan Yesus.

Berbanding dengan air yang ingin didapatkan oleh wanita Samaria dari perigi itu, Yesus menawarkan sesuatu yang lebih baik: “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal” (Yohanes 4:13–14).

Banyak perkara yang menjanjikan kepuasan tidak pernah benar-benar menghilangkan kehausan hati kita. Kepuasan sejati hanya kita temukan dalam Yesus. Pertolongan-Nya sentiasa tersedia kepada semua orang di mana-mana sahaja.