Ketika pemandu teksi membawa kami ke Lapangan Terbang Heathrow di London, dia menceritakan kisahnya kepada kami. Dia datang sendirian ke United Kingdom pada usia 15 tahun kerana ingin melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan. Sekarang, selepas 11 tahun, dia mempunyai keluarga sendiri dan mampu mencari rezeki yang tidak tersedia di negara asalnya. Namun demikian, dia kesal kerana dia masih terpisah daripada ibu bapa dan adik-beradiknya. Dia memberitahu kami bahawa dia telah menempuh perjalanan hidup yang sukar. Hidupnya tidak akan sempurna kecuali dia bertemu semula dengan keluarganya.

Perpisahan dengan orang tersayang dalam kehidupan ini sesungguhnya sukar, tetapi kematian orang tersayang adalah jauh lebih sukar lagi dan akan menimbulkan rasa kehilangan yang berterusan sehingga kita bersatu semula dengan mereka. Apabila orang yang baru percaya di Tesalonika tertanya-tanya tentang kehilangan sedemikian, Paulus menulis, “Saudara-saudaraku, kami ingin kamu mengetahui yang sebenarnya tentang mereka yang sudah meninggal dunia, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan” (1 Tesalonika 4:13). Dia menerangkan bahawa sebagai orang percaya dalam Yesus, kita dapat hidup dengan penuh harapan tentang pertemuan semula yang indah—bersama-sama Kristus selama-lamanya (AYAT 17).

Tidak banyak pengalaman hidup yang lain boleh meninggalkan kesan sedalam seperti perpisahan yang perlu kita hadapi. Namun dalam Yesus, kita mempunyai harapan untuk bertemu semula. Dalam kesedihan dan kehilangan pun, kita dapat mencari penghiburan yang kita perlukan dalam janji abadi itu (AYAT 18).