Setelah mendengar mesej tentang menegakkan keadilan, seorang ahli jemaah pergi berjumpa dengan pastor dalam tangisan sambil meminta pengampunan dan mengakui bahawa dia tidak mengundi pastor berkulit hitam itu untuk menjadi pastor jemaah mereka kerana prasangkanya sendiri. “Pastor, sila mengampuni aku. Aku tak mahu racun prasangka dan perkauman meresap ke dalam hidup anak-anak aku. Aku tidak mengundi pastor, dan aku bersalah.” Air mata dan pengakuannya disambut juga dengan air mata dan pengampunan pastor tersebut. Seminggu kemudian, seluruh jemaah bersukacita setelah mendengar kesaksian lelaki itu tentang pekerjaan Tuhan dalam hatinya.

Bahkan Petrus, pengikut Yesus dan salah seorang pemimpin utama jemaah awal, harus dibetulkan kerana tanggapannya yang buruk terhadap orang bukan Yahudi. Makan dan minum dengan orang bukan Yahudi (yang dianggap najis), merupakan pelanggaran protokol sosial dan agama. Petrus berkata, “Saudara-saudara sendiri tahu bahawa orang Yahudi dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi” (Kisah Rasul-Rasul 10:28). Hanya kuasa Tuhan yang luar biasa (AYAT 9-23) dapat meyakinkannya bahawa dia “tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram” (AYAT 28).

Melalui pengajaran daripada firman Tuhan, keinsafan yang datang daripada Roh Tuhan dan pengalaman hidup, Tuhan terus bekerja dalam hati manusia untuk membetulkan perspektif kita yang salah tentang orang lain. Dia membantu kita melihat bahawa “Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata” (AYAT 34).