Salah sebuah lagu yang paling menyentuh hati dalam filem muzikal “Penghibur yang Teragung” (The Greatest Showman) ialah “Mulai dari Sekarang” (From Now On). Setelah watak utama dengan sedihnya menyedari bahawa dia telah melukai anggota keluarga dan rakan-rakan, lagu tersebut dinyanyikan demi meraikan kegembiraan ketika dia pulang ke rumah dan mendapati bahawa apa yang dimilikinya adalah jauh lebih daripada cukup.

Kitab Hosea diakhiri dengan nada yang serupa—penuh kegembiraan dan kesyukuran atas perdamaian yang telah dimungkinkan oleh Tuhan bagi mereka yang kembali kepada-Nya. Sebahagian besar kitab ini membandingkan hubungan antara Tuhan dan umat-Nya dengan hubungan suami atau isteri yang tidak setia, yang menimbulkan perasaan dukacita atas kegagalan Israel untuk mengasihi-Nya dan hidup demi-Nya.

Namun dalam fasal 14, Hosea menekankan janji kasih, rahmat dan pemulihan Tuhan yang tidak terhingga—tersedia secara percuma bagi mereka yang kembali kepada-Nya dengan hancur hati kerana mereka pernah meninggalkan-Nya (AYAT 1-3). “Umat-Ku yang menyeleweng akan Kubawa kembali,” janji Tuhan, “Mereka akan Kukasihi dengan segenap hati” (AYAT 5). Apa yang kelihatan hancur sehingga tidak dapat dibaiki akan sekali lagi menjadi sempurna dan berkelimpahan kerana rahmat Tuhan adalah seperti embun yang membuatkan umat-Nya “berkembang seperti bunga” dan “bertambah makmur seperti gandum” (AYAT 6-8).

Apabila kita telah melukai orang lain ataupun meremehkan kebaikan Tuhan dalam hidup kita, kita cenderung menganggap bahawa kita telah mensia-siakan semua pemberian baik yang telah kita terima untuk selamanya. Akan tetapi, apabila kita dengan rendah hati kembali kepada Tuhan, kita mendapati kasih-Nya akan selalu merangkul dan memulihkan kita.