Selama 5 tahun pada lewat tahun 1800-an, belalang telah menyerang Minnesota lalu memusnahkan tanaman. Para petani cuba memerangkap bilangan belalang yang besar dengan menggunakan minyak tar dan membakar ladang mereka untuk membunuh telur belalang. Oleh sebab berasa terdesak dan di ambang kebuluran, ramai orang meminta satu hari doa bersama diadakan di seluruh negeri demi memohon bantuan Tuhan. Gabenor memberikan kelulusan dan menetapkan hari doa tersebut diadakan pada 26 April.

Tidak lama selepas hari doa itu, cuaca menjadi panas dan telur-telur belalang mula menetas. Namun 4 hari kemudian, suhu menurun dengan mendadak tetapi menggembirakan ramai orang kerana suhu takat beku telah membunuh larva-larva belalang. Penduduk Minnesota sekali lagi dapat menuai tanaman jagung, gandum dan oat mereka.

Doa juga memainkan peranan penting di sebalik penyelamatan umat Tuhan pada waktu pemerintahan Raja Yosafat. Apabila raja mengetahui bahawa satu pasukan yang besar datang menyerang mereka, dia menggesa umat Tuhan untuk berdoa dan berpuasa. Umat mengingatkan bahawa Tuhan telah berkali-kali menyelamatkan mereka pada masa lalu. Yosafat juga berkata bahawa jika malapetaka menimpa mereka, “sama ada peperangan, wabak, atau kelaparan,” mereka dapat berseru kepada Tuhan dan mengetahui bahawa Dia akan mendengar dan menyelamatkan mereka (2 Tawarikh 20:9).

Tuhan menyelamatkan umat-Nya daripada musuh yang datang menyerang mereka, dan Dia mendengar kita apabila kita berseru kepada-Nya dalam kesusahan. Apa pun yang anda bimbangkan—sama ada isu tentang hubungan atau bencana alam—panjatkannya kepada Tuhan dalam doa. Tiada apa-apa yang terlalu sukar bagi-Nya.