Seorang biarawan yang bernama Telemachus menjalani kehidupan yang tenang, namun kematiannya pada penghujung abad ke-4 telah mengubah dunia. Ketika dia pergi melawat Roma dari Timur, Telemachus cuba menghentikan sukan berdarah di arena gladiator. Dia melompati tembok-tembok stadium tersebut dan cuba menghalang gladiator daripada saling membunuh. Tetapi tindakan ini memarahi orang ramai sehingga mereka merejam biarawan itu sampai mati. Bagaimanapun, Maharaja Honorius terharu dengan tindakan Telemachus lalu mengeluarkan titah untuk menamatkan acara yang telah dijalankan selama 500 tahun.

Apabila Paulus menyebut Yesus sebagai “kedamaian kita”, dia merujuk kepada berakhirnya permusuhan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi (Efesus 2:14). Umat pilihan Tuhan iaitu orang Israel, berbeza daripada bangsa-bangsa yang lain dan menikmati keistimewaan tertentu. Sebagai contoh, sungguhpun orang bukan Yahudi dibenarkan untuk beribadat di Rumah Tuhan di Yerusalem, sebuah tembok pemisah membatasi mereka di halaman luar—mereka akan dijatuhkan hukuman mati jika membatasi ruangan tersebut. Orang Yahudi menganggap orang bukan Yahudi sebagai najis dan mereka saling bermusuhan. Bagaimanapun, dengan kematian dan kebangkitan Yesus untuk semua, orang Yahudi dan orang bukan Yahudi kini boleh menyembah Tuhan melalui iman dalam-Nya (AYAT 18-22). Tiada tembok pemisah lagi. Tiada bangsa yang lebih istimewa daripada bangsa yang lain. Kedudukan semua bangsa adalah sama di hadapan Tuhan.

Seperti Telemachus yang membawa kedamaian kepada para gladiator melalui kematiannya, Yesus memungkinkan kedamaian dan perdamaian untuk mereka yang percaya kepada-Nya melalui kematian dan kebangkitan-Nya. Oleh itu, jika Yesuslah kedamaian kita, janganlah membiarkan perbezaan antara kita memisahkan kita. Dia telah menyatukan kita melalui darah-Nya.