Ketika John Lewis, seorang ahli kongres Amerika dan pemimpin hak sivil meninggal pada tahun 2020, ramai orang dari pelbagai aliran politik berkabung. Pada tahun 1965, Lewis berarak bersama dengan Martin Luther King Jr. untuk melindungi hak mengundi orang kulit hitam. Semasa perarakan, Lewis dipukul dan menderita keretakan pada tengkorak dan meninggalkan parut sepanjang hidupnya. Lewis berkata, “Apabila anda melihat sesuatu yang tidak betul dan tidak adil, anda mempunyai kewajiban untuk mengatakan dan melakukan sesuatu.” Dia juga berkata, “Jangan sekali-kali takut untuk bersuara dan melibatkan diri dalam situasi permasalahan yang akan berakhir dengan baik.”

Sejak awal Lewis mengetahui bahawa untuk melakukan apa yang benar dan setia kepada kebenaran, ia memerlukan penglibatan diri dalam permasalahan yang “baik”. Dia perlu bersuara tentang perkara yang tidak disukai ramai orang. Nabi Amos juga mengetahui hal ini. Apabila menyaksikan dosa dan ketidakadilan yang dilakukan oleh orang Israel, dia tidak dapat berdiam diri. Amos mengecam penguasa-penguasa yang menganiaya “orang baik, menerima rasuah, dan menghalang orang miskin daripada mendapat keadilan di tempat pengadilan,” sambil membina “rumah mewah daripada batu” dan ladang anggur yang indah (Amos 5:11-12). Amos tidak mengelakkan konfrontasi demi mempertahankan keselamatan dan keselesaannya sendiri, dia mendedahkan kejahatan. Nabi Amos menimbulkan masalah yang baik dan diperlukan pada masa itu.

Tetapi masalah ini bertujuan untuk sesuatu yang baik, iaitu keadilan untuk semua. Amos berseru “berusahalah supaya keadilan mengalir seperti sungai!” (ayat 24). Apabila kita menghadapi masalah yang baik (masalah yang menuntut kebenaran dan keadilan tanpa kekerasan), matlamatnya adalah untuk mendatangkan kebaikan dan penyembuhan.