Semasa sekatan pergerakan dilangsungkan kerana pandemik, Jerry terpaksa menutup gimnasiumnya dan tidak mempunyai pendapatan selama beberapa bulan. Suatu hari, Jerry menerima pesanan seorang rakan yang meminta untuk menemui dia di gimnasiumnya pada jam 6 petang. Jerry tidak pasti apa sebabnya tetapi dia tetap pergi. Tidak lama kemudian, kereta-kereta mula memenuhi tempat letak kereta. Pemandu kereta pertama meletakkan sebuah bakul di lorong pejalan kaki berhampiran bangunan itu. Kemudian kereta-kereta lain muncul (mungkin ada 50 buah). Mereka yang berada di dalam kereta melambai-lambai atau melaung-laungkan ‘helo’ kepada Jerry. Kemudian mereka berhenti di depan bakul itu lalu memasukkan kad dorongan atau wang tunai ke dalamnya. Sebahagian mereka menyumbangkan wang dan meluangkan masa untuk menggalakkannya.

Menurut rasul Paulus, sifat kasih sejati melibatkan pengorbanan. Dia menjelaskan kepada jemaah di Korintus bahawa jemaah di Makedonia memberi “bahkan lebih daripadanya” supaya mereka dapat memenuhi keperluan para rasul dan orang lain (2 Korintus 8:3). Jemaah di Makedonia bahkan “meminta dan merayu” kepada Paulus agar mereka diberikan kesempatan untuk memberi kepada para rasul dan umat Tuhan. Pemberian mereka berdasarkan hati Yesus yang mengorbankan diri. Dia meninggalkan kekayaan syurga dan datang ke dunia untuk menjadi hamba serta memberikan nyawa-Nya. “Meskipun dia kaya, Dia menjadikan diri-Nya miskin untuk kebaikan [kita]” (ayat 9).

Semoga kita juga memohon kepada Tuhan agar kita “unggul dalam usaha [kita] yang baik ini” (ayat 7) untuk memenuhi keperluan orang lain dengan penuh kasih.