Pada 6 Disember 1907, satu letupan telah menggegarkan komuniti kecil di Virginia Barat, Amerika Syarikat, dan menjadi salah satu bencana terburuk dalam sejarah industri perlombongan arang batu. Kira-kira 360 pelombong terbunuh, dan dianggarkan bahawa tragedi ngeri ini meninggalkan 250 balu dan 1000 anak yang kehilangan bapa. Sejarawan berpendapat bahawa upacara peringatan yang diadakan telah menjadi penyebab perayaan Hari Bapa mula diraikan secara meluas di Amerika Syarikat. Daripada tragedi kehilangan besar, terjadi sebuah upacara peringatan, dan akhirnya muncul sebuah perayaan.

Tragedi terbesar dalam sejarah manusia berlaku ketika manusia menyalibkan Pencipta mereka. Akan tetapi, saat gelap itu juga menghasilkan satu peringatan dan perayaan. Malam sebelum Yesus disalibkan, Dia mengambil unsur-unsur jamuan Paska orang Israel dan mengadakan perayaan peringatan bagi diri-Nya sendiri. Catatan Lukas menggambarkan kejadian itu: “Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, ‘Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku’ ” (Lukas 22:19).

Sehingga hari ini, setiap kali kita mengadakan Perjamuan Kudus, kita menghormati kasih-Nya yang tidak terhingga untuk kita, mengingati pengorbanan-Nya untuk menyelamatkan kita dan meraikan anugerah hidup yang kita miliki melalui pengorbanan-Nya. Seperti kata Charles Wesley dalam lagu pujiannya, “Kasih yang luar biasa! Bagaimana mungkin Engkau, Tuhanku, mati untukku?”