Robert berasa malu kerana dia terlupa membawa dompet ketika bersarapan dengan sekumpulan kawan di sebuah kedai makan. Hal itu memalukan serta mengganggunya sehingga dia berfikir sama ada dia harus makan atau hanya memesan minuman. Setelah diyakinkan oleh rakannya beberapa kali, dia pun memesan makanan. Mereka menikmati makanan dan rakannya dengan senang hati membelanjanya.

Mungkin anda juga mengalami dilema ini atau situasi lain yang anda menerima kebaikan orang lain. Ini amat normal jika kita ingin membayar sendiri, tetapi ada kalanya kita harus dengan rendah hati menerima apa yang diberikan dengan murah hati.

Dalam Lukas 15:17-24, anak bongsu mungkin memikirkan beberapa cara untuk membayar balik kepada bapanya sambil merenungkan apa yang akan dikatakan kepada bapanya. “Tidak layak lagi saya disebut anak ayah. Anggaplah saya sebagai orang gaji ayah” (ayat 19). Orang gaji? Bapanya tidaklah berfikir sampai begitu sekali! Di mata bapanya, dia ialah anak bongsu yang sangat disayangi dan akan pulang. Oleh itu, dia disambut dengan pelukan dan ciuman bapanya yang penuh kasih (ayat 20). Inilah satu gambaran Injil yang hebat! Ia mengingatkan kita tentang kematian Yesus, dan mengungkapkan hati Bapa yang penuh kasih menyambut anak-anak-Nya dengan tangan terbuka. Seorang penulis lagu menyatakannya seperti ini: “Tiada jasa padaku, hanya sandar pada salib-Mu.”