Alexa, Siri dan peralatan pintar yang berfungsi berdasarkan perintah suara di rumah kami kadangkala tidak memahami apa yang kami katakan. Seorang anak yang berusia 6 tahun bercakap kepada peralatan pintar yang baru dibeli itu tentang biskut dan rumah patung. Kemudian ibunya menerima e-mel yang memaklumkan bahawa 3kg biskut dan rumah patung yang berharga RM700 sedang dihantar ke rumah mereka. Bahkan seekor burung kakak tua di London telah memesan sebuah kotak berwarna emas tanpa pengetahuan pemiliknya. Seorang lagi meminta peralatan itu untuk “nyalakan lampu di ruang tamu” dan ia membalas “tidak ada ruang timun.”

Tuhan tidak pernah salah memahami apa yang kita katakan kepada-Nya. Dia tidak pernah keliru, kerana Dia amat memahami hati kita lebih daripada kita sendiri. Roh Kudus menyelidiki hati kita dan memahami kehendak Tuhan. Rasul Paulus mengatakan kepada jemaah di Roma bahawa Tuhan berjanji untuk melaksanakan tujuan baik-Nya supaya kita menjadi matang dan semakin menyerupai Anak-Nya (Roma 8:28-29). Walaupun pada saat kita “lemah” dan tidak tahu apa yang kita perlukan untuk bertumbuh, Roh Tuhan berdoa sesuai dengan kehendak Tuhan untuk kita (ayat 26-27).

Adakah anda sukar untuk meluahkan isi hati anda dan tidak tahu bagaimana berdoa kepada Tuhan? Katakan apa yang ada dalam hati anda. Roh Kudus akan memahami dan menyempurnakan kehendak Tuhan.