Selama 6 tahun, Agnes berusaha untuk menjadi “isteri hamba Tuhan yang sempurna” dengan mengikuti teladan ibu mentuanya (juga seorang isteri pastor) yang sangat disayangi. Dia berfikir bahawa disebabkan peranan ini, dia tidak boleh menjadi penulis atau pelukis. Tetapi dengan menyembunyikan kreativitinya, dia menjadi murung dan ingin membunuh diri. Dia dibebaskan daripada kegelapan tersebut dengan pertolongan seorang pastor lain. Pastor itu berdoa bersamanya dan menggalakkan dia menulis jurnal selama 2 jam setiap pagi. Ini membuatkan dia sedar akan panggilan Tuhan kepadanya, yang merupakan suatu “arahan termeterai”. Dia menulis, “Bagi aku, untuk benar-benar menjadi diriku yang seadanya menurut rancangan Tuhan, kreativiti yang telah dikurniakan Tuhan padaku harus digunakan.”

Kemudian dia menunjukkan salah satu mazmur Daud yang telah menolongnya menemukan panggilannya: “Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu” (Mazmur 37:4). Sewaktu dia berserah kepada Tuhan dan percaya kepada pimpinan-Nya (ayat 5), Tuhan bukan sahaja membuka jalan baginya untuk menulis dan melukis, malahan dia juga mampu membantu orang lain lebih mendekati Tuhan.

Tuhan mempunyai satu set “arahan termeterai” untuk setiap kita. Kita bukan sahaja mengetahui bahawa kita anak-anak yang dikasihi-Nya, tetapi juga memahami kita boleh melayani Dia dengan cara yang unik, melalui semua kurniaan dan minat kita. Dia akan memimpin kita apabila kita percaya kepada Tuhan dan bergembira kerana Dia.