Latihan pengebumian secara percuma untuk orang hidup. Itulah perkhidmatan yang ditawarkan oleh sebuah pertubuhan di Korea Selatan. Sejak ia dibuka pada tahun 2012, lebih daripada 25,000 orang—dari golongan remaja hingga pesara telah menyertai perkhidmatan “pengebumian orang hidup” secara besar-besaran, dengan harapan dapat memperbaiki hidup dengan merenungkan kematian mereka. Pengurus pertubuhan itu berkata, “acara kematian yang dibuat-buat bertujuan untuk memberi para peserta kesedaran tentang hidup mereka, membangkitkan rasa syukur, serta membantu mereka mengalami pengampunan dan perdamaian antara ahli keluarga dan rakan-rakan.”

Kata-kata ini tersebut memantulkan hikmat pengajaran yang disampaikan dalam kitab Pengkhutbah. “Orang hidup perlu diingatkan bahawa kematian sentiasa menunggu kita semua” (Pengkhutbah 7:2). Kematian mengingatkan kita bahawa hidup adalah singkat dan kita memiliki masa yang terhad untuk hidup. Ini juga mengingatkan kita agar mengasihi sesama dengan baik, dan mendorong kita melepaskan genggaman kuat terhadap pemberian baik daripada Tuhan seperti wang, hubungan dan keseronokan. Kematian juga membebaskan kita untuk menikmatinya sekarang sementara kita mengumpul “harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya” (Matius 6:20).

Apabila kita menyedari bahawa kematian boleh berlaku pada bila-bila masa, ini mungkin akan mendorong kita agar tidak menangguhkan waktu untuk melawat ibu bapa atau membuat keputusan untuk melayani Tuhan melalui cara tertentu, malah tidak mengkompromikan masa kita bersama dengan anak-anak demi pekerjaan. Dengan pertolongan Tuhan, kita boleh hidup dengan bijak.