Selepas mendapat set peralatan melukis yang lengkap, Chelsea yang berusia 10 tahun mendapati bahawa Tuhan memakai seni untuk menghiburkannya ketika dia sedih. Apabila mendapat tahu bahawa ada kanak-kanak yang tidak mempunyai peralatan melukis, dia mahu membantu mereka. Oleh itu pada hari ulang tahunnya, dia meminta rakan-rakannya agar tidak memberi hadiah kepadanya. Sebaliknya, dia mengajak mereka menderma peralatan melukis dan mengisi kotak sumbangan untuk kanak-kanak yang ada keperluan.

Kemudian dengan bantuan keluarganya, dia memulakan Badan Amal Chelsea. Dia mula meminta bantuan orang awam turut mengisi kotak sumbangan supaya dia dapat membantu lebih ramai kanak-kanak. Dia bahkan mengajar panduan melukis kepada kumpulan yang sudah menerima sumbangannya. Selepas akhbar tempatan menemu ramah Chelsea, orang dari seluruh negara mula memberikan sumbangan. Badan Amal Chelsea mengirim peralatan melukis sehingga ke peringkat antarabangsa. Gadis kecil ini menunjukkan bagaimana Tuhan dapat memakai kita apabila kita rela hidup untuk melayani orang lain.

Belas kasihan dan kerelaan hati Chelsea untuk berkongsi telah mencerminkan hati seorang hamba Tuhan yang setia. Rasul Petrus mendorong semua orang Kristian menjadi pengurus yang setia dan “saling mengasihi” dengan berkongsi sumber serta bakat yang diberikan Tuhan kepada mereka (1 Petrus 4:8-11).

Tindakan kita yang kecil tetapi penuh kasih boleh memberi inspirasi kepada orang lain dalam hal memberi. Tuhan dapat mengumpulkan penyokong untuk melayani bersama-sama kita. Apabila kita bergantung kepada-Nya, kita dapat hidup untuk melayani dan memberi-Nya kemuliaan yang layak diterima-Nya.