Pada zaman kegemilangan radio, Fred Allen (1894–1956) menyampaikan persembahan komedi yang berunsur pesimistik untuk menghibur generasi yang hidup dalam trauma kemunduran ekonomi dan peperangan. Sifat lucunya lahir daripada kesakitan yang dialaminya sendiri. Setelah kehilangan ibunya sebelum dia berusia 3 tahun, dia kemudian dipisahkan daripada ayahnya yang bergelut dengan ketagihan dadah. Dia pernah menyelamatkan seorang budak lelaki di jalan raya Kota New York yang sibuk dengan berkata, “Kenapa dengan kamu, nak? Kamu tidak mahu menjadi dewasa dan mengalami masalah?”

Kehidupan Ayub terungkap dalam realiti yang pahit. Apabila imannya yang kuat akhirnya tersungkur akibat kesengsaraan, teman-temannya pula menyirami lukanya dengan garam. Dengan hujah-hujah yang kedengaran baik, mereka menegaskan sekiranya dia mengakui kesalahannya (4:7–8) dan bertaubat, dia akan memperoleh kekuatan untuk bersukacita ketika mengharungi masalahnya (5:22).

Teman-teman Ayub bermaksud baik tetapi pengertian mereka salah (1:6-12). Mereka tidak pernah membayangkan bahawa pada suatu hari nanti, mereka akan disebut sebagai contoh “kawan bagai lawan”. Tidak terlintas dalam fikiran mereka bahawa Ayub pula yang mendoakan pengampunan Tuhan untuk mereka, atau memahami mengapa mereka sama sekali memerlukan doa (42:7-9). Mereka juga tidak menyangka bahawa mereka sebenarnya memberikan bayangan awal tentang Yesus yang akan dibanjiri salah faham dan pelbagai tuduhan, tetapi Dia tetap menjadi sumber kegembiraan terbesar kita.