Gereja “The Gathering” di utara Thailand ialah sebuah gereja antarabangsa tanpa denominasi gereja. Pada Ahad baru-baru ini, orang-orang yang percaya kepada Yesus dari Korea, Ghana, Pakistan, negara China, Bangladesh, Amerika Syarikat, Filipina dan negara-negara lain berkumpul di sebuah bilik persidangan hotel yang sederhana. Mereka menyanyikan “In Christ Alone” (Hanya Kristus Harapanku) dan “I Am a Child of God,” (Aku Anak Tuhan) yang suasananya sangat menyentuh hati.

Tiada orang dapat menyatukan orang seperti yang dilakukan oleh Yesus. Dia telah melakukannya sejak awal. Pada abad pertama, Antiokhia merangkumi 18 etnik yang berbeza dan masing-masing tinggal di bandar sendiri. Ketika orang-orang percaya pertama kali datang ke Antiokhia, mereka “memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada orang Yahudi sahaja” (Kisah Rasul -Rasul 11:19). Bagaimanapun, itu bukan rancangan Tuhan untuk jemaah-Nya. Tidak lama kemudian, pengikut Yesus yang lain mula “mengkhabarkan Berita Baik tentang Tuhan Yesus kepada orang bukan Yahudi [orang kafir],” dan “banyak orang percaya kepada Tuhan dan mengikut Dia” (ayat 20-21). Penduduk di kota itu memperhatikan bahawa Yesus telah menyembuhkan permusuhan yang berabad-abad lamanya antara orang Yahudi dan orang Yunani, mereka pun menyatakan bahawa jemaah berbilang etnik ini harus disebut “Kristian” atau “Kristus kecil” (ayat 26).

Ini sangat mencabar bagi kita untuk melampaui batas etnik, sosial dan ekonomi dan merangkul mereka yang berbeza dengan kita. Tetapi kesukaran ini merupakan peluang kita. Sekiranya tidak sukar, kita tidak memerlukan Yesus untuk melakukannya. Jadi tidak banyak orang akan menyedari bahawa kita pengikut-Nya.