Ketika selesema John berubah menjadi pneumonia (radang paru-paru), dia dimasukkan ke hospital. Pada masa yang sama, ibunya juga sedang menjalani rawatan barah di tingkat atas, dia bimbang tentang keadaan ibunya dan kesihatannya sendiri. Kemudian pada malam Krismas, ketika radio memainkan lagu “O Holy Night” (“Malam Kudus”), John dipenuhi dengan rasa damai Tuhan yang mendalam. Dia mendengarkan kata-kata yang menggambarkan malam kelahiran Penyelamat yang dikasihi: “yang susah penat bersukacitalah k’rana raja mulia lahirlah!” Pada saat itu, kerisauan tentang dia dan ibunya lenyap.

“Penyelamat yang dikasihi”, iaitu Yesus telah dilahirkan untuk kita. Dialah “Raja Damai,” yang dinubuatkan oleh Yesaya (Yesaya 9:5). Yesus menggenapi nubuat ini ketika Dia datang ke dunia sebagai bayi, membawa cahaya dan keselamatan bagi mereka “yang hidup dalam kegelapan” (Matius 4:16; lihat Yesaya 9:1). Dia mengurniakan kedamaian kepada mereka yang dikasihi-Nya, bahkan juga ketika mereka menghadapi kesusahan dan kematian.

Ketika merenungkan kelahiran Yesus, John mengalami kedamaian Tuhan yang melampaui segala pemahaman manusia (Filipi 4:7). Pengalamannya dengan Tuhan ini menguatkan iman dan rasa syukurnya ketika dia berbaring di wad steril dan tidak dapat bersama dengan keluarga pada hari Krismas. Semoga kita juga memperoleh kurnia damai sejahtera dan harapan daripada Tuhan.