Perasaan tersinggung antara Simon dan Geoffrey telah berlanjutan selama bertahun-tahun. Tindakan Simon untuk cuba memulihkan hubungan mereka ditolak berkali-kali. Setelah mendengar berita tentang kematian ibu Geoffrey, Simon bertolak ke kawasan pedalaman di Kenya untuk menghadiri upacara pengebumian itu. Simon mengimbas kembali pertemuan mereka: “Aku sama sekali tidak menjangka bagaimana semuanya akan berlaku, [tetapi] setelah upacara itu, kami meluahkan isi hati bersama dan mengadakan perbualan yang mesra. Kami berpelukan, menikmati masa bersama, berdoa dan merancang untuk bertemu lagi.” Kalaulah Simon dan Geoffrey dapat berdamai lebih awal, kesakitan yang berterusan itu boleh dielakkan.

Kata-kata Yesus dalam Matius 5:21–26, membantu menyelesaikan ketegangan hubungan. Kemarahan yang boleh menyebabkan perpecahan seperti ini adalah perkara yang serius (ayat 22). Tambahan lagi, perdamaian dalam hubungan merupakan perkara yang kita patut lakukan sebelum menyembah Tuhan (ayat 23-24). Kata-kata bijak Yesus, “berdamailah dengan dia selagi ada masa” (ayat 25) mengingatkan kita bahawa semakin cepat kita melakukan apa yang dapat dilakukan demi perdamaian, semakin bermanfaat bagi semua orang.

Setiap hubungan ada risikonya; ia harus diusahakan, sama ada dalam keluarga, tempat kerja, tempat pembelajaran, dan kalangan orang seiman. Tetapi sebagai orang-orang yang mewakili “Raja Damai” (Yesaya 9:5), semoga kita berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan konflik kita dengan orang lain melalui hati dan tangan yang terbuka.