Michellan menghadapi pelbagai cabaran semasa membesar di Filipina, tetapi dia suka membaca dan mendapat penghiburan melaluinya. Pada suatu hari semasa belajar di universiti, dia membaca kitab Yohanes fasal pertama dan hatinya yang keras tergerak. Seseorang seolah-olah berkata kepadanya, “Ya, kamu memang suka membaca. Tetapi tahukah kamu bahawa ada satu Firman yang Kekal? … yang dapat menembusi kegelapan, sekarang dan selama-lamanya. Firman yang menjadi manusia. Firman yang juga dapat mengasihi kamu.”

Dia membaca kitab Yohanes yang dimulakan dengan kata-kata yang mengingatkan para pembacanya tentang permulaan kitab Kejadian: “Pada mulanya … “ (Kejadian 1:1). Yohanes menegaskan bahawa Yesus bukan hanya bersama-sama Tuhan pada permulaan waktu, tetapi sebenarnya Dia ialah Tuhan (Yohanes 1:1). Firman yang hidup ini menjadi manusia “dan tinggal antara kita” (ayat 14). Tambahan pula, mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya akan diberikan-Nya hak menjadi anak Tuhan (ayat 12).

Hari itu, Michellan menerima kasih Tuhan dan “menjadi anak Allah” (ayat 13). Dia memuji Tuhan kerana menyelamatkannya daripada genggaman ketagihan keluarganya, dan sekarang dia menulis tentang khabar baik Yesus. Dengan senang hati dia berkongsi tentang Firman yang Hidup itu.

Sekiranya kita percaya kepada Kristus, kita juga dapat berkongsi pesan Tuhan dan kasih-Nya. Sementara kita memulakan tahun 2022, apakah kata-kata penuh kasih yang dapat kita ucapkan pada tahun ini?