Ketika Bryony berusia 30 tahun, dia berasa sedih kerana masih perlu bekerja sebagai jurujual, pekerjaan yang tidak disukainya. Dia memutuskan untuk berhenti menunda-nunda waktu dan mencari kerjaya baru. Bagi David, apabila dia memandang diri dalam cermin pada malam Tahun Baru, dia berazam untuk menurunkan berat badan pada tahun ini. Bagi James pula, dia asyik naik radang pada bulan lepas. Dia berazam akan lebih berusaha untuk mengawal emosinya pada bulan depan.

Sekiranya anda pernah berazam untuk mengubah sesuatu pada awal bulan baru, tahun baru, atau pada hari jadi, anda tidak sendirian. Bahkan, para penyelidik menamakannya sebagai Fresh Start Effect (Kesan Permulaan Baru). Mereka menunjukkan bahawa pada hari-hari istimewa seperti ini, kita lebih cenderung menilai kehidupan kita dan cuba melupakan kegagalan pada masa lampau untuk bermula semula. Sementara kita mahu menjadi orang yang lebih baik, kita menginginkan permulaan yang baru.

Iman dalam Yesus lebih berkuasa daripada kerinduan ini kerana ia memberi kita visi tentang menjadi orang yang lebih baik (Kolose 3:12–14), dan memanggil kita membuang hidup yang lama (ayat 5-9). Iman yang membawa perubahan ini bukan berdasarkan keputusan dan azam semata-mata, melainkan kuasa Tuhan. Apabila kita percaya kepada Yesus, kita menjadi orang baru, dan Roh Tuhan bekerja dalam kita untuk menjadikan kita seperti Dia (ayat 10; Titus 3:5).

Sesungguhnya, menerima keselamatan dalam Yesus adalah satu permulaan baru yang terbaik. Anda tidak perlu menunggu satu tarikh yang khas. Kehidupan baru anda boleh bermula dari sekarang.