Gary mengalami masalah keseimbangan ketika berjalan. Jadi, doktornya mengatur terapi fizikal untuk meningkatkan keseimbangannya. Semasa menjalani sesi terapi, ahli terapi itu memberitahunya, “Kamu terlalu percaya apa yang kamu lihat walaupun itu salah! Kamu tidak cukup bergantung kepada sistem badan lain, seperti apa yang kamu rasa di tapak kaki dan isyarat yang dikesan pada bahagian telinga dalam—berfungsi untuk menjaga keseimbangan ketika berjalan.”

Ungkapan “Kamu terlalu percaya apa yang kamu lihat” mengingatkan saya tentang kisah Daud, seorang gembala domba yang muda, dan pertemuannya dengan Goliat. Selama 40 hari, Goliat, pahlawan Filistin yang paling kuat, “menghampiri barisan tentera Israel dan mencabar mereka” untuk menghantar seseorang melawan dia (1 Samuel 17:16). Tetapi orang ramai takut kepada Goliat. Kemudian Daud muncul di tempat tersebut kerana bapanya meminta dia membawa bekalan makanan kepada abang-abangnya (ayat 18).

Bagaimanakah Daud melihat keadaan itu? Melalui imannya kepada Tuhan, bukan berdasarkan apa yang dilihatnya. Dia melihat askar gergasi itu tetapi percaya bahawa Tuhan akan menyelamatkan umat-Nya. Walaupun dia hanya seorang muda, dia berkata kepada Raja Saul, “tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia” (ayat 32). Kemudian dia memberitahu Goliat, “[Tuhan] sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami” (ayat 47). Tuhan betul-betul memberikan kemenangan kepada Daud.

Percaya kepada sifat dan kuasa Tuhan membantu kita hidup dengan lebih dekat kepada-Nya melalui iman, dan bukannya berdasarkan apa yang dilihat.