Jen dilahirkan tanpa kaki dan dibiarkan di hospital. Tetapi dia berkata bahawa ini merupakan satu berkat bagi dia yang menjadi anak angkat. “Aku masih hidup disebabkan ramai orang yang menyokong saya.” Keluarga angkatnya membantu dia melihat bahawa “ada sebabnya dia dilahirkan seperti ini.” Sepanjang masa mereka membesarkannya, Jen diajar supaya tidak berkata ‘tidak boleh’ dan memberikan sokongan penuh dalam segala usahanya, termasuk menjadi akrobat yang melakukan pertunjukan di udara! Dia menghadap cabaran dengan sikap “Bagaimanakah aku boleh menangani hal ini?” dan memotivasikan orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Alkitab menceritakan kisah ramai orang yang kelihatannya tidak mampu atau tidak layak untuk panggilan mereka, tetapi masih dipakai Tuhan. Musa merupakan contoh klasik. Sewaktu Tuhan memanggilnya untuk memimpin orang Israel keluar dari Mesir, dia menolak (Keluaran 3:11; 4:1) dan membantah, “Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.” Tuhan menjawab, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? … Aku, TUHAN. Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan” (4:10-12). Ketika Musa masih enggan menerima panggilan ini, Tuhan mempersiapkan Harun untuk berbicara bagi Musa dan meyakinkannya bahawa Tuhan akan menolong mereka (ayat 13-15).

Seperti Jen dan Musa, kewujudan kita mempunyai tujuan. Kebaikan Tuhan menolong kita di sepanjang perjalanan hidup kita. Dia menyediakan orang untuk membantu kita dan menyediakan apa yang kita perlukan untuk hidup demi nama-Nya.