Suatu petang pada tahun 1964, gempa bumi dengan magnitud 9.2 telah melanda Alaska selama lebih daripada 4 minit. Di Anchorage, seluruh blok bangunan bandar raya dimusnahkan, hanya tinggal kawah besar dan reruntuhan. Pada malam yang gelap dan menakutkan, wartawan berita Genie Chance berdiri dengan memegang mikrofonnya, menyampaikan mesej kepada orang-orang yang berada dalam kecemasan sambil duduk di sisi radio mereka: seorang suami yang bekerja di hutan mendapat berita bahawa isterinya masih hidup; beberapa keluarga yang tidak keruan kini tahu anak lelaki mereka yang dalam perjalanan pulang dari perkhemahan pengakap dalam keadaan selamat; sepasang suami dan isteri mendengar bahawa anak-anak mereka telah dijumpai. Satu demi satu berita baik kedengaran melalui radio, sukacita besar wujud di tengah-tengah kehancuran.

Orang-orang Israel juga pasti mengalami perasaan yang sama ketika mereka mendengar kata-kata nabi Yesaya: “Dia telah memilih aku dan mengutus aku untuk mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin” (61:1). Pada saat mereka melihat kehancuran hidup mereka dan masa depan yang suram, suara Yesaya membawa berita baik tepat pada masa ketika semuanya kelihatan hampa. Tuhan bermaksud untuk “memulihkan orang yang hancur hati, untuk mengumumkan kemerdekaan kepada orang tawanan. … [Untuk] membina semula kota-kota yang telah lama runtuh, dan mendirikan tempat-tempat yang sudah lama sepi” (ayat 1, 4). Dalam ketakutan, orang ramai mendengar janji Tuhan yang meyakinkan, berita baik-Nya.

Hari ini kita dapat mendengar berita baik Tuhan. Inilah maksud sebenar bagi perkataan Injil. Dalam ketakutan, kesakitan dan kegagalan, Tuhan menyampaikan khabar gembira. Kesusahan kita berubah menjadi sukacita.