Pada tahun 2013, pelakon British, David Suchet sedang menjalani penggambaran episod TV terakhir sebagai Hercule Poirot, iaitu detektif Belgium kegemaran Agatha Christie, penulis novel jenayah. Dia juga membintangi pertunjukan pentas ketika dia memainkan “watak paling utama dalam hidupnya.” Antara projek-projek tersebut, dia merakam versi audio seluruh Alkitab bahasa Inggeris, daripada kitab Kejadian hingga Wahyu dengan 752,702 patah perkataan selama lebih daripada 200 jam.

Suchet, yang percaya kepada Yesus setelah membaca kitab Roma dalam Alkitab yang ditemukannya di sebuah hotel, mengatakan bahawa projek itu telah memenuhi “cita-citanya selama 27 tahun. Saya berasa teruja . Saya telah melakukan banyak pengkajian dalam setiap bahagiannya sehingga saya tidak sabar untuk meneruskan projek itu.” Kemudian dia mendermakan semua upah yang diterimanya.

Rakamannya tetap menjadi contoh inspirasi bagaimana kita memuliakan Tuhan dengan menggunakan pemberian, kemudian berkongsinya. Petrus menggesa orang Kristian menggunakan kurnia-kurnia dengan baik dalam suratnya kepada orang-orang percaya pada abad pertama. Mereka dianiayai kerana menyembah Yesus, dan bukan Kaisar. Mereka dicabar supaya fokus kepada Tuhan dengan menggunakan kurnia rohani mereka. “Sesiapa yang menyampaikan perkhabaran, harus menyampaikan perkhabaran daripada Allah” (1 Petrus 4:11). Kita dapat mengembangkan semua kurnia “supaya dalam segala hal Allah dimuliakan melalui Yesus Kristus.”

Suchet mempersembahkan bakatnya kepada Tuhan. Kita juga boleh melakukan perkara yang sama. Apa pun yang diberikan Tuhan kepada anda, gunakanlah dengan baik untuk kemuliaan-Nya.