Alangkah baiknya jika pakaian kita lebih berfungsi, dengan kemampuan membersihkan diri selepas tertumpah sos atau minuman ke atasnya! Menurut kumpulan BBC, jurutera di China telah menghasilkan sejenis lapisan yang “membuat kapas membersihkan noda dan menghilangkan bau apabila terdedah kepada sinaran ultraungu.” Bolehkah anda bayangkan apa akan terjadi jika pakaian dapat membersihkan diri?

Lapisan tersebut mungkin berfungsi untuk pakaian bernoda, tetapi hanya Tuhan yang dapat membersihkan jiwa yang bernoda. Pada zaman Yehuda kuno, Tuhan murka terhadap umat-Nya kerana mereka “telah meninggalkan” Dia, melakukan segala kekejian dan kejahatan, dan menyembah tuhan-tuhan palsu (Yesaya 1:2-4). Tetapi keadaan bertambah buruk ketika mereka berusaha untuk membersihkan diri dengan mempersembahkan korban, membakar kemenyan, mengucapkan banyak doa, dan berkumpul dalam pertemuan keagamaan. Tetapi hati mereka yang munafik dan berdosa tetap ada (ayat 12–13). Hanya satu penyelesaiannya, iaitu mereka harus sedar dan dengan hati yang bertaubat membawa jiwa mereka yang bernoda kepada Tuhan yang kudus dan pengasih. Rahmat-Nya akan membersihkan mereka dan menjadikan mereka “putih seperti salji” secara rohani (ayat 18).

Ketika kita berdosa, tiada penyelesaian untuk membersihkan diri. Dengan merendahkan hati dan bertaubat, kita harus mengakui dosa-dosa kita dan meletakkannya di bawah cahaya pembersihan Tuhan yang kudus. Kita mesti berpaling daripada segala dosa dan kembali kepada-Nya. Dia satu-satunya yang dapat membersihkan jiwa yang bernoda, menawarkan pengampunan penuh, dan memulihkan persekutuan kita dengan-Nya.