Ludmilla, janda berusia 82 tahun, mengisytiharkan rumahnya di Republik Czech sebagai “Kedutaan Pemerintahan Syurga,” dengan mengatakan, “Rumah saya adalah kelanjutan Pemerintahan Kristus.” Dia menyambut orang asing dan rakan-rakan yang terluka serta kekurangan dengan layanan mesra. Kadangkala dia menyediakan makanan dan tempat tidur untuk mereka dengan hati yang penuh belas kasihan dan doa. Dia bergantung kepada kuasa Roh Kudus untuk menolong dia menjaga orang-orang tersebut. Dia gembira dengan cara Tuhan menjawab doa-doa mereka.

Ludmilla melayani Yesus dengan membuka rumah dan hatinya. Dia berbeza dengan orang Farisi terkenal yang menjemput Yesus makan di rumahnya pada hari Sabat. Yesus memberitahu guru Taurat itu bahawa dia harus menyambut “orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta” ke rumahnya dan bukan orang-orang yang dapat membalas kebaikannya (Lukas 14:13). Pernyataan Yesus mendedahkan bahawa orang Farisi melayani Yesus di rumahnya kerana keangkuhan (ayat 12). Bertahun-tahun kemudian, Ludmilla pula mengundang orang ke rumahnya supaya dia dapat menjadi “saluran kasih Tuhan dan kebijaksanaan-Nya.”

Melayani orang lain dengan rendah hati adalah salah satu cara kita menjadi “wakil Pemerintahan syurga,” seperti yang dikatakan oleh Ludmilla. Sama ada kita dapat menyediakan tempat tidur untuk orang asing atau tidak, kita dapat mengutamakan keperluan orang lain berbanding keperluan sendiri dengan cara yang berbeza dan kreatif. Bagaimanakah kita akan memperluas Pemerintahan Tuhan di sekitar kita pada hari ini?