Jaroslav Pelikan merupakan profesor yang sudah lama mengajar di Universiti Yale dan dianggap sebagai salah seorang “autoriti generasinya yang terkemuka dalam sejarah Kristian,” serta terkenal dengan kerjaya akademiknya yang cemerlang. Dia pernah menerbitkan lebih daripada 30 buah buku dan memenangi Anugerah Kluge sebagai penghargaan sepanjang hayat untuk penulisannya yang produktif. Walau bagaimanapun, salah seorang pelajarnya mengimbas kembali kata-kata guru yang dianggapnya paling penting, yang dikatakan sebelum kematiannya: “Sekiranya Kristus telah bangkit, tiada apa-apa yang lebih penting daripada-Nya. Namun sekiranya Kristus tidak bangkit, tiada apa-apa yang penting lagi.”

Pelikan mengulangi keyakinan Paulus: “Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka” (1 Korintus 15:14). Rasul Paulus membuat pernyataan yang begitu berani kerana dia tahu bahawa kebangkitan Yesus bukan hanya keajaiban yang terjadi sekali, melainkan puncak karya penebusan Tuhan dalam sejarah manusia. Janji kebangkitan bukan hanya jaminan-Nya bahawa Yesus akan bangkit daripada kematian, tetapi inilah pengakuannya yang teguh bahawa apa-apa lain (kehidupan, tetangga, hubungan) yang mati dan hancur juga suatu hari kelak akan dihidupkan kembali melalui Kristus. Namun, jika tiada kebangkitan, Paulus tahu bahawa kita berada dalam masalah besar. Sekiranya tiada kebangkitan, maka maut dan kehancuran akan menang.

Namun, tentulah “Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian” (ayat 20). Maut telah dihancurkan dan dikalahkan oleh Pemenang. Yesus adalah “yang pertama” (ayat 20, AVB) daripada semua kehidupan yang akan menyusul kelak. Dia mengalahkan kejahatan dan maut supaya kita dapat hidup dengan berani dan bebas. Hal ini mengubah segalanya.