Ketika Warren menyebut bahawa dia “berasa berdebu” semasa perkumpulan pelayanan mingguan kami, bagi saya ilustrasi ini merupakan caranya untuk merujuk kepada cabaran fizikal yang berkaitan dengan usia tua dan keadaan badan yang tidak sihat. Pada tahun 2020, Warren dan isterinya yang berusia lewat 60-an telah pergi berjumpa doktor, menjalani pembedahan dan mengubahsuai rumah mereka untuk menempatkan alat perawatan di dalam rumah. Kedua-dua mereka semakin menghampiri akhir hayat. Mereka menyedari hakikat ini.

Kita tidak perlu hidup lama untuk menyedari kekurangan, ketidaksempurnaan dan kelemahan kita secara fizikal, intelektual, emosi dan rohani. Tuhan, dalam bentuk Manusia iaitu Anak-Nya, Yesus, turun ke dunia yang telah jatuh dalam dosa dan mempedulikan mereka yang terbeban oleh tanggungjawab kehidupan (Mazmur 103:13). Lagipun Daud menulis, “Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka” (ayat 14). Perkataan debu membawa kita kembali ke kitab Kejadian:“Kemudian TUHAN Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk manusia, lalu menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya; maka hiduplah manusia itu” (2:7).

Adakah anda berasa berdebu hari ini? Selamat datang ke realiti kehidupan di dunia ini. Namun, ingatlah bahawa ketika kita berasa paling lemah, kita tidak keseorangan. Tuhan kita yang berbelas kasihan “tahu” dan “ingat.” Dia menunjukkan kasih-Nya kepada kita dengan mengutus Anak-Nya untuk memberikan pengampunan bagi orang-orang di dunia seperti anda dan saya. Apa sahaja bentuk kehidupan yang kita hadapi, semoga kita mempercayai Dia.