Selepas menerima diagnosis yang buruk tentang kanser otak yang jarang berlaku dan tidak dapat dirawat, Caroline menemukan harapan dan tujuan hidup baru dengan memberikan perkhidmatan unik: menawarkan perkhidmatan fotografi secara sukarela untuk kanak-kanak yang sakit tenat bersama dengan keluarga mereka. Melalui perkhidmatan ini, keluarga-keluarga yang terlibat dapat mengabadikan saat berharga yang dikongsi bersama dengan anak-anak mereka, baik dalam kesedihan dan “saat-saat yang penuh rahmat dan indah, yang dianggap tidak wujud di tempat-tempat yang keadaannya sangat terdesak.” Dia memerhatikan bahawa “dalam detik-detik yang paling sukar untuk dibayangkan, keluarga-keluarga itu … memilih untuk menunjukkan kasih.”.

Ada sesuatu yang sangat berkuasa namun sukar dijelaskan tentang memahami ada kebenaran walaupun dalam kesedihan―realiti yang dahsyat dan cara kita dapat mengalami keindahan dan harapan di dalamnya.

Kebanyakan kitab Ayub adalah seperti sebuah album foto kesedihan—secara jujur merekodkan perjalanan kehidupan Ayub yang melalui pengalaman kehilangan yang dahsyat (1:18-19). Selepas duduk dengan Ayub selama beberapa hari, kawan-kawannya jemu dengan kesedihannya. Mereka berusaha mengurangkan kesedihannya dengan menjelaskan kepada Ayub bahawa apa yang dialaminya itu merupakan penghakiman Tuhan. Tetapi Ayub tidak bersetuju dengan pendapat mereka itu. Dia bertegas bahawa apa yang sedang dilaluinya adalah mustahak, dan dia berharap bahawa kesaksian pengalamannya akan “dipahat pada batu, agar kekal sepanjang waktu” (19:24).

Melalui kitab Ayub, kesaksiannya yang “terpahat” mendorong kita membawa kesedihan kita kepada Tuhan yang hidup (ayat 26-27), yang menemukan kita dalam kesakitan kita, membawa kita mengharungi kematian dan masuk ke hidup yang bangkit daripada kematian.