“Tidak! Bukan aku yang buat!” nafi anak remaja Jane. Jane sangat kecewa dan sedih kerana dia tahu anaknya berbohong.. Dia membisikkan doa memohon pertolongan Tuhan sebelum bertanya kepada Simon sekali lagi tentang apa yang telah berlaku. Simon masih tidak mengaku bahawa dia berbohong, sehingga Jane menyerah dengan perasaan geram. Jane berkata dia memerlukan masa untuk menenangkan dirinya dan mula beredar. Masa itulah dia terasa bahunya disentuh dan mendengar anak remajanya meminta maaf. Simon memberi respons kepada teguran Roh Kudus, dan dia bertaubat.

Dalam kitab Perjanjian Lama, Yoel, Tuhan memanggil umat-Nya bertaubat dengan sungguh-sungguh atas dosa-dosa mereka ketika Dia menyambut mereka kembali kepada-Nya dengan sepenuh hati (2:12). Tuhan tidak ingin mereka cuma menyesali tindakan mereka secara luaran sahaja, sebaliknya Dia mahu mereka melembutkan hati mereka yang keras: “Biarlah hati kamu yang hancur itu menyatakan penyesalan, jangan hanya mengoyakkan pakaian.” Yoel mengingatkan orang Israel bahawa Tuhan itu “penyayang dan penuh rahmat; Dia sabar dan menepati janji-Nya; Dia sentiasa sedia mengampuni dan tidak suka menghukum” (ayat 13).

Kita mungkin berasa sukar untuk mengakui salah laku kita disebabkan kesombongan kita. Mungkin kita telah memalsukan kebenaran, dan kita mempertahankan tindakan kita itu dengan mengatakan itu hanya “bohong kecil.” Tetapi apabila kita mendengar bisikan Tuhan yang lembut tetapi tegas dan mendorong kita untuk bertaubat, Dia akan mengampuni kita dan “membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah” (1 Yohanes 1:9). Kita dapat bebas daripada rasa bersalah dan malu, apabila mengetahui kita sudah diampuni.