Pada tahun 1478, Lorenzo de Medici, pemerintah bandar Florence, Itali, berjaya melepaskan diri daripada satu komplot yang cuba meragut nyawanya. Orang-orang senegaranya bertindak balas dengan mencetuskan perang untuk membalas dendam terhadap mereka yang telah melakukan serangan terhadap pemimpin mereka. Ketika keadaan semakin teruk, Raja Ferrante I dari Naples yang kejam telah menjadi musuh Lorenzo, tetapi tindakan berani oleh Lorenzo berjaya mengubah segala-galanya. Dia melawat Raja Ferrante bersendirian tanpa membawa sebarang senjata. Keberanian ini, disusuli dengan keperibadiannya yang mempesona dan pintar, menawan Raja Ferrante yang akhirnya menghentikan perang tersebut.

Daniel juga membantu seorang raja mengalami perubahan hati. Tiada seorang pun di Babel dapat menggambarkan atau mentafsirkan mimpi yang mengganggu Raja Nebukadnezar. Hal ini memurkai raja sehingga dia memutuskan untuk membunuh semua penasihatnya—termasuk Daniel dan kawan-kawannya. Tetapi Daniel meminta untuk melawat raja yang mahu membunuhnya (Daniel 2:24).

Ketika menghadap Nebukadnezar, Daniel memberikan segala pujian kepada Tuhan yang telah mendedahkan mimpi Raja Nebukadnezar yang misteri (ayat 28). Apabila nabi menggambarkan dan mentafsirkan mimpi itu, Nebukadnezar memuliakan Tuhan yang “agung antara semua dewa … Tuhan semua raja” (ayat 47). Keberanian Daniel yang luar biasa, yang lahir daripada imannya kepada Tuhan, telah membantu dirinya, kawan-kawannya dan penasihat yang lain terlepas daripada hukuman mati.

Dalam hidup kita, ada kalanya keberanian dan kegagahan diperlukan untuk menyampaikan mesej penting. Semoga Tuhan membimbing kata-kata kita dan memberi kita kebijaksanaan untuk mengetahui apa yang harus dikatakan dan keupayaan untuk mengatakannya dengan baik.