Mengapa apabila kita berkata, “Inilah cip kentang terakhir yang akan saya makan,” tetapi 5 minit kemudian kita mahu makan lebih banyak lagi? Michael Moss menjawab soalan itu dalam bukunya yang berjudul Salt Sugar Fat (Garam Gula Lemak). Dia menerangkan sejumlah pengeluar snek terbesar di Amerika tahu cara untuk “membantu” orang supaya mengidamkan makanan ringan. Sebenarnya, satu syarikat terkenal membelanjakan $30 juta dolar AS setahun dan mengupah “perunding mengidam” untuk menentukan titik kepuasan para pengguna supaya mereka dapat terus mengeksploitasi keinginan makanan kita.

Tidak seperti syarikat itu, Yesus membantu kita mendapatkan makanan rohani yang sebenar, makanan yang membawa kepuasan kepada jiwa kita. “ ‘Akulah roti yang memberikan hidup,’ kata Yesus kepada mereka. ‘Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya’ ” (Yohanes 6:35). Dengan membuat pengakuan ini, Yesus menyampaikan dua perkara penting: Pertama, roti yang dimaksudkan-Nya ialah orang, bukan barang keperluan (ayat 32). Kedua, apabila orang percaya kepada Yesus untuk pengampunan dosa mereka, hubungan mereka dan Tuhan menjadi damai dan akan menemukan kepuasan yang dicari oleh jiwa mereka. Roti ini bersifat kekal dan merupakan makanan rohani yang membawa kepuasan dan kehidupan.

Apabila kita meletakkan harapan kita dalam Yesus, Roti yang Benar dari syurga, kita akan menginginkan-Nya, dan Dia akan menguatkan dan mengubah kehidupan kita.