Pada musim bunga 2021, beberapa pengejar ribut merakam video dan mengambil gambar pelangi yang muncul bersebelahan dengan puting beliung di Texas. Dalam satu video, tangkai gandum yang panjang dibengkokkan disebabkan kekuatan pusaran angin. Pelangi yang terang membelah langit kelabu dan melengkung ke arah putaran angin itu. Dalam video yang lain, kelihatan orang ramai sedang berdiri di tepi jalan dan menyaksikan simbol harapan ini berdiri tegak di sebelah awan berbentuk corong yang sedang berputar.

Dalam Mazmur 107, pemazmur memberikan harapan dan mendorong kita kembali kepada Tuhan pada masa sukar. Dia menggambarkan beberapa orang yang berada di tengah-tengah badai, “kehilangan akal” (ayat 27, AVB). “Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan” (ayat 28).

Tuhan memahami kadang-kadang anak-anak-Nya bergelut untuk merasakan harapan sedangkan hidup terasa seperti ribut. Kita perlu mengingatkan kesetiaan-Nya, terutamanya ketika keadaan di hadapan kita kelihatan gelap dan huru-hara.

Sama ada ribut datang sebagai rintangan besar dalam hidup kita, gelora emosi, atau tekanan jiwa, Tuhan dapat menenangkan angin ribut dalam hidup kita dan membimbing kita ke tempat perlindungan (ayat 29-30). Walaupun kita mungkin tidak mengalami kelegaan dalam cara atau masa yang kita inginkan, kita boleh mempercayai Tuhan kerana Dia menepati janji-janji yang telah diberikan-Nya dalam Alkitab. Harapan di dalam Tuhan yang berterusan akan menembusi badai dan ribut.