Para pengkaji memberitahu kita bahawa terdapat hubungan antara murah hati dengan sukacita: mereka yang memberikan wang dan masa kepada orang lain lebih gembira daripada orang yang tidak berbuat demikian. Hal ini membuat seorang ahli psikologi merumuskan, “Berhentilah berfikir bahawa memberi merupakan kewajipan moral, dan mulalah menganggapnya sebagai sumber kegembiraan.”

Sungguhpun memberi dapat menggembirakan kita, saya mempersoalkan sama ada kegembiraan seharusnya menjadi matlamat kita ketika memberi. Jika kita hanya bermurah hati kepada orang atau sebab lain yang membuat kita gembira, bagaimana pula dengan keperluan yang lebih rumit atau yang biasa sahaja tetapi menghendaki sokongan kita?

Alkitab juga menghubungkaitkan murah hati dengan sukacita, tetapi pada dasar yang berbeza. Setelah memberikan kekayaan sendiri bagi pembinaan Rumah Tuhan, Raja Daud mempelawa orang Israel untuk turut menderma (1 Tawarikh 29:1-5). Mereka memberikan respons yang amat baik dengan menyumbangkan emas, perak, dan batu permata dengan sukacita (ayat 6-8). Akan tetapi, perhatikan apa yang menggembirakan mereka: “Rakyat memberikan sumbangan kepada TUHAN dengan ikhlas dan rela hati. Mereka bersukacita kerana banyak pemberian telah disumbangkan” (ayat 9, tulisan italik ditambahkan). Alkitab tidak pernah memberitahu kita memberi sumbangan akan membuat kita gembira, tetapi memberi dengan ikhlas dan rela hati bagi memenuhi keperluan. Sukacita selalunya akan menyusul.

Seperti yang diketahui para mubaligh, adalah lebih mudah untuk membuat pungutan derma bagi penginjilan berbanding bagi urusan pentadbiran. Ini kerana orang yang percaya kepada Yesus menggemari perasaan yang menyumbang kepada pelayanan barisan hadapan. Marilah kita bermurah hati juga terhadap keperluan-keperluan lain. Lagipun, Yesus sudah menyerahkan nyawa-Nya dengan rela hati bagi memenuhi keperluan kita (2 Korintus 8:9).