Ketika terlihat karya tebal Leo Tolstoy yang bertajuk War and Peace (Perang dan Damai) di rak buku rakan saya, saya pun mengaku, “Saya tidak pernah menghabiskan seluruh buku itu.” Marty ketawa kecil lalu berkata, “Ketika saya bersara sebagai guru, seorang kawan yang menghadiahi saya buku ini memberitahu saya, ‘Kini kamu akhirnya ada masa untuk membacanya.’ ”

Lapan ayat pertama dalam Pengkhutbah 3 menyatakan rentak aktiviti hidup yang biasa dan semula jadi dengan beberapa pilihan sembarangan. Tidak kira apa peringkat kehidupan yang sedang kita lalui, kerap kali sukarnya kita mencari masa untuk melakukan semua perkara yang kita kehendaki. Demi membuat keputusan yang bijak tentang pengurusan masa kita, sangat bermanfaat sekiranya ada perancangan tertentu (Mazmur 90:12).

Masa yang diluangkan bersama-sama Tuhan setiap hari merupakan keutamaan bagi kesihatan rohani kita. Melakukan kerja yang produktif mendatangkan kepuasan kepada jiwa kita (Pengkhutbah 3:13). Melayani Tuhan dan menolong orang lain adalah penting untuk memenuhi tujuan Tuhan bagi kita (Efesus 2:10). Selain itu, masa rehat atau santai tidaklah terbuang tetapi demi menyegarkan tubuh dan jiwa kita.

Tentulah mudahnya untuk terlalu berfokuskan sekarang ini sahaja dengan meluangkan masa bagi perkara-perkara yang paling penting bagi kita. Akan tetapi, Pengkhutbah 3:11 berkata bahawa Tuhan telah ”meletakkan keabadian” dalam hati kita—mengingatkan kita supaya mengutamakan perkara-perkara yang kekal. Hal itu dapat membawa kita bersemuka dengan hal yang paling penting, iaitu perspektif kekal Tuhan “dari awal hingga akhir.”