Saya pernah mendengar seorang ahli perniagaan menggambarkan masa dia belajar di universiti sebagai masa yang dia selalu berasa “tidak berdaya dan tiada harapan” akibat kemurungan. Sedihnya, dia tidak pernah berjumpa dengan doktor untuk meluahkan perasaan itu. Sebaliknya dia mula membuat lebih banyak rancangan yang drastik, seperti menempah sebuah buku tentang bunuh diri dari perpustakaan setempat dan menetapkan tarikh untuk mengakhiri nyawanya.

Tuhan mengambil berat tentang orang yang tidak berdaya dan tiada harapan. Kita dapat melihat ini melalui perlakuan-Nya terhadap tokoh-tokoh dalam Alkitab semasa mereka mengharungi masa-masa gelap diri mereka. Ketika Yunus ingin mati sahaja, Tuhan mengadakan perbualan yang penuh kasih sayang dengannya (Yunus 4:3-10). Ketika Elia meminta Tuhan mengambil nyawanya (1 Raja-Raja 19:4), Tuhan mempersiapkan roti dan air untuk menyegarkannya semula (ayat 5-9), berfirman dengan lembut kepadanya (ayat 11-13), dan menyedarkannya bahawa dia bukan keseorangan seperti yang difikirkannya (ayat 18). Tuhan mendekati orang yang kesedihan dengan pertolongan yang penuh kasih dan praktikal.

Pustakawan memaklumi pelajar tersebut apabila bukunya mengenai bunuh diri sedia untuk diambil. Bagaimanapun, disebabkan satu kekeliruan, nota pemberitahuan itu dikirim ke alamat rumah ibu bapanya. Apabila ibunya menelefon dia dengan sangat sedih, dia pun menyedari kehancuran yang akan timbul akibat perbuatan bunuh dirinya. Kalau bukan kerana alamat yang “salah”, menurutnya, dia tidak akan hidup pada hari ini.

Saya tidak percaya bahawa pelajar itu telah diselamatkan oleh nasib atau kebetulan sahaja. Sama ada roti atau air ketika kita memerlukannya, atau alamat yang salah tepat pada masanya, ketika campur tangan yang misteri menyelamatkan hidup kita, kasih sayang Tuhan sudah kita kecapi.