Darah Chris diuji semula selepas 4 tahun menjalani pemindahan sumsum tulang yang menyelamatkan nyawanya. Sumsum tulang penderma itu membekalkan apa yang perlu untuk menyembuhkan dia tetapi menimbulkan satu kejutan: DNA di dalam darah Chris ialah DNA pendermanya, bukanlah DNA Chris sendiri. Sebenarnya kejadian ini masuk akal: tujuan pemindahan sumsum tulang adalah untuk menggantikan darah yang lemah dengan darah penderma yang sihat. Namun ujian saringan yang diambil dari pipi, bibir dan lidah Chris pun menunjukkan DNA penderma itu. Dari beberapa segi dia telah menjadi orang lain, meskipun dia mengekalkan ingatannya sendiri, penampilan luaran, dan beberapa DNA asalnya.

Pengalaman Chris mempunyai persamaan yang ketara dalam kehidupan seseorang yang menerima keselamatan dalam Yesus. Pada saat kita mengalami perubahan rohani—ketika kita percaya kepada Yesus—kita menjadi ciptaan baharu (2 Korintus 5:17). Surat Paulus kepada jemaah di Efesus mendorong mereka memperlihatkan perubahan dalaman, membuang “cara hidup yang lama” (Efesus 4:22), dan “hidup seperti manusia baharu, yang diciptakan menurut rupa Allah. Dengan demikian orang dapat melihat bahawa kamu mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Tuhan dan yang suci” (Efesus 4:22, 24). Kita dikuduskan demi Kristus.

Kita tidak perlu menguji DNA atau membuat ujian darah untuk menunjukkan bahawa kuasa Yesus yang membawa perubahan ada dalam diri kita. Realiti dalaman itu haruslah jelas kelihatan dalam cara kita berinteraksi dengan orang di sekeliling kita, memperlihatkan bagaimana kita mengamalkan sifat yang “baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kita melalui Kristus” (ayat 32).