Kafeteria sekolah, seperti perniagaan katering yang besar, selalunya menyediakan makanan yang melebihi keperluan semata-mata kerana mereka tidak dapat menganggarkan keperluan secara tepat, maka terjadi pembaziran makanan. Bagaimanapun, masih ada ramai pelajar yang tiada makanan yang cukup di rumah dan yang kelaparan pada hujung minggu. Maka sebuah sekolah daerah di Amerika Syarikat bekerjasama dengan organisasi setempat yang bukan berasaskan keuntungan untuk mencari penyelesaian. Mereka membungkus lebihan makanan untuk dibawa pulang bersama pelajar, dan sekaligus menangani kedua-dua masalah pembaziran makanan serta kelaparan.

Walaupun kebanyakan orang tidak melihat wang yang berlimpah sebagai masalah seperti yang kita lakukan terhadap makanan yang terbazir, prinsip di sebalik projek sekolah itu adalah sama dengan apa yang disarankan oleh Paulus dalam suratnya kepada jemaah Korintus. Dia tahu bahawa jemaah di Makedonia sedang mengalami kesusahan, maka dia meminta jemaah di Korintus menggunakan “kecukupan” mereka untuk “membantu mereka yang berkekurangan” (2 Korintus 8:14). Objektifnya adalah membawa kesamaan dalam kalangan jemaah supaya tiada yang terlalu berkelimpahan sementara yang lain menderita kekurangan.

Paulus tidak mahu membebankan jemaah di Korintus dalam pemberian mereka, tetapi berempati dan bermurah hati kepada jemaah di Makedonia. Mereka patut menyedari bahawa kelak mereka juga mungkin memerlukan pertolongan yang serupa. Ketika kita melihat orang lain yang dalam kekurangan, marilah kita mempertimbangkan sesuatu yang kita boleh berkongsi dengan orang lain. Pemberian kita baik besar mahupun kecil tidak akan menjadi sia-sia!