Pada musim panas ini, saya sudah dua kali menderita ruam alahan akibat tumbuhan yang bernama jelatang (poison ivy). Kedua-dua alahan yang berlaku adalah ketika saya sedang membersihkan semak-samun di halaman rumah kami. Sebanyak dua kali juga, saya nampak musuh jahat yang berdaun tiga itu menyorok berhampiran semak belukar. Saya menyangka bahawa saya dapat mendekatinya tanpa alah terhadapnya. Namun sekejap sahaja selepas itu, saya sedar bahawa saya silap. Saya tidak patut mendekati musuh kecil berwarna hijau itu, sebaliknya saya patut lari ke arah yang bertentangan!

Dalam kisah Perjanjian Lama tentang Yusuf, kita melihat teladan mengenai prinsip lari daripada sesuatu yang lebih buruk daripada tumbuhan jelatang: dosa. Semasa Yusuf tinggal di rumah pegawai Mesir, iaitu Potifar, isteri Potifar cuba menggodanya. Bagaimanapun, Yusuf tidak cuba mendekatinya, tetapi dia cabut lari.

Walaupun isteri Potifar membuat tuduhan palsu terhadap Yusuf yang menyebabkan dia dipenjarakan, Yusuf tetap suci sepanjang peristiwa tersebut. Kita melihat dalam Kejadian 39:21, “Tetapi TUHAN menolong Yusuf dan tetap mengasihinya.”

Tuhan dapat menolong kita lari daripada aktiviti dan situasi yang boleh membuatkan kita menjauhi-Nya, dengan membimbing kita lari ke arah lain apabila ada dosa berdekatan. Dalam 2 Timotius 2:22, Paulus menulis, “Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda.” Dalam 1 Korintus 6:18 dia juga berkata kita harus “menjauhkan diri daripada perbuatan cabul.”

Dalam kekuatan Tuhan, semoga kita memilih untuk lari daripada perkara yang dapat memudaratkan kita.