Saya menulis rencana untuk majalah yang dianggap “penting”, maka saya pun bertungkus lumus untuk menulis artikel dengan sebaik mungkin bagi editor kanan majalah itu. Oleh sebab saya menghadapi tekanan untuk mencapai standardnya, saya terus menulis buah fikiran dan idea saya berulang kali. Tetapi apakah masalah saya? Adakah topik saya mencabar? Atau adakah kerisauan sebenar saya sesuatu yang peribadi: Adakah editor itu akan berpuas dengan saya dan bukan hanya penulisan saya?

Bagi mengatasi kerisauan terhadap pekerjaan kita, Paulus memberikan petunjuk yang boleh dipercayai. Dalam surat kepada jemaah di Kolose, Paulus mendorong orang percaya supaya bekerja bukan untuk menyukakan hati manusia, tetapi untuk Tuhan. Seperti yang dikatakan Paulus, “Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah kamu melakukannya untuk Tuhan dan bukan untuk manusia. Ingatlah, kamu akan menerima pahala daripada Tuhan, yang telah disediakan Tuhan untuk umat-Nya. Hal itu demikian kerana tuan yang kamu layani sebenarnya Kristus” (Kolose 3:23-24).

Jika kita merenungkan kebijaksanaan dalam kata-kata Paulus, kita boleh berhenti berusaha sedaya upaya untuk kelihatan bagus di mata majikan kita. Sudah pastinya, kita menghormati mereka sebagai manusia dan berusaha melakukan yang terbaik untuk mereka. Namun jika kita bekerja “seolah-olah untuk Tuhan” dengan memohon Dia memimpin kita dan mengurapi pekerjaan kita demi-Nya, Dia akan menyinarkan cahaya ke atas usaha kita. Jadi, apakah ganjaran kita? Tekanan kerja akan berkurangan dan tugas kita dilengkapkan. Lebih-lebih lagi, suatu hari nanti kita akan mendengar-Nya berkata, “Kamu pekerja yang bagus!”