Semasa menyelam skuba pada tahun 2021, mata Jennifer tertuju pada satu botol hijau kecil di dasar sungai. Dia mencedok apa yang dia gambarkan sebagai “penemuan sekali dalam seumur hidup.” Botol itu mengandungi pesanan yang ditulis oleh seorang pemuda pada ulang tahunnya yang ke-18 pada tahun 1926! Kata-kata itu meminta agar sesiapa yang menemukan mesej itu mengembalikan botol tersebut kepadanya. Jennifer pun menggunakan Facebook untuk mencari ahli keluarga lelaki itu. Walaupun dia telah meninggal pada tahun 1995, nota yang pernah disembunyikannya membawa kegembiraan kepada Jennifer dan keluarga lelaki itu.

Dalam 2 Raja-Raja 22:8, kita mengetahui bahawa Hilkia telah menemukan sesuatu yang luar biasa ketika dia “menemukan kitab Taurat di dalam Rumah TUHAN.” Kemungkinan besar kitab yang ditemukan oleh Imam Agung merupakan kitab Ulangan. “Apabila raja mendengar kandungan kitab itu,” dia sangat terharu dan dukacita pada masa yang sama (ayat 11). Seperti Rumah TUHAN di Yehuda itu sendiri, umat Tuhan telah mengabaikan Dia, gagal membaca dan mentaati firman yang diilhamkan-Nya. Sebagai pertaubatan, raja menyuruh rumah TUHAN dibersihkan daripada penyembahan berhala dan apa sahaja yang tidak menyenangkan hati Tuhan ketika dia melakukan reformasi untuk bangsanya (23:1-24).

Hari ini, Alkitab kita mengandungi 66 kitab yang mengungkapkan hikmat dan pengajaran Tuhan—termasuk kitab Ulangan. Semasa kita membaca dan mendengarkan kitab-kitab ini, semoga Roh Kudus mengubah fikiran kita dan memperbaharui jalan hidup kita. Marilah kita menyelami kisah Alkitab yang mengubah kehidupan hari ini dan carilah hikmat untuk menerokai kebenarannya seumur hidup!