Dua beradik perempuan dari India buta sejak lahir. Ayah mereka bekerja keras untuk menyediakan keperluan mereka, tetapi dia tidak mampu membayar kos pembedahan untuk memulihkan penglihatan mereka. Kemudian sekumpulan doktor datang ke wilayah mereka dalam misi perubatan jangka pendek. Pagi selepas pembedahan mereka, anak-anak perempuan itu tersenyum lebar ketika jururawat membuka pembalut mata mereka. Seorang berseru, “Ibu, aku boleh nampak! Aku boleh nampak!”

Seorang lelaki yang lumpuh sejak lahir dibawa ke pintu Rumah Tuhan, tempat yang dia meminta sedekah setiap hari. Petrus memberitahu lelaki itu bahawa dia tidak mempunyai wang, tetapi dia mempunyai sesuatu yang lebih baik. Dia berkata, “Dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!” (Kisah Rasul-Rasul 3:6). Lalu lelaki itu “melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia … sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah” (ayat 8).

Dua beradik perempuan dan lelaki itu menghargai mata dan kaki mereka lebih daripada mereka yang tidak pernah buta atau lumpuh. Dua beradik itu tidak dapat berhenti mengedipkan mata dalam kekaguman dan kegembiraan, dan lelaki itu “melompat bangun.”

Pertimbangkan keupayaan semula jadi anda sendiri. Bagaimanakah anda dapat lebih menikmati keupayaan ini, dan bagaimanakah anda dapat menggunakannya secara berbeza, jika anda pernah disembuhkan secara ajaib? Sekarang mari kita memikirkan lagi fakta ini. Jika anda percaya kepada Yesus, Dia telah menyembuhkan anda secara rohani. Dia telah menyelamatkan anda daripada segala dosa anda.

Marilah bersyukur kepada Dia yang mencipta dan menyelamatkan kita, serta mendedikasikan semua yang diberikan-Nya kepada-Nya.