Dr. Gary Greenberg suka mengambil gambar pasir dari pantai di serata dunia dengan menggunakan kamera kanta besar. Gambar-gambar ini sering kali mendedahkan warna-warna yang menarik serta mengejutkan pada galian, cangkerang, dan serpihan batu karang.

Penemuan Dr. Gary tentang pasir bukan sekadar yang dilihat pada mata kasar. Dalam bidang arenologi (kajian pasir), analisis mikroskopik kandungan galian pasir dapat memberikan banyak maklumat tentang hakisan, arus laut, dan kemungkinan kesan yang dibawa pada pinggir pantai. Pasir yang halus pun dapat memberi kita maklumat yang sangat bernilai!

Satu doa yang ringkas, seperti sebutir pasir, boleh membawa kesan yang besar. Alkitab menunjukkan bahawa doa memainkan peranan yang berkuasa dalam kedatangan Pemerintahan Tuhan. Dalam Wahyu 8, Yohanes melihat malaikat berdiri di hadapan mazbah sambil membawa sebuah perbaraan emas yang mengandungi “doa-doa semua umat Allah” (ayat 3). “Kemudian malaikat itu mengambil perbaraan itu, dan mengisinya dengan bara api yang diambil dari mazbah, lalu melemparkannya ke atas bumi. Lalu guruh bergemuruh, kilat sabung-menyabung, dan gempa bumi berlaku” (ayat 5).

Sejurus selepas malaikat melemparkan perbaraan dengan bara api dan doa, tujuh malaikat yang memegang tujuh buah trompet itu “bersedia untuk meniup trompet” (ayat 6), mengumumkan hari terakhir bumi yang lama ini dan kedatangan Kristus yang kedua kali.

Kadangkala kita mungkin berasa doa kita tidak membawa apa-apa perbezaan pun, tetapi Tuhan tetap mendengar setiap doa. Dia sangat menghargai doa kita, bahkan menganggap doa ini memainkan peranan dalam penyempurnaan Pemerintahan Tuhan. Doa yang dianggap kecil bagi kita mungkin boleh memberikan impak seperti Tuhan menggegarkan bumi.