Bayangkan sepohon pokok oak yang cukup kecil dapat muat di atas meja dapur. Inilah saiz sepohon bonsai―sejenis versi mini pokok hiasan yang boleh dijumpai di hutan belantara. Tidak terdapat sebarang perbezaan genetik antara sepohon bonsai dan tumbuhan sama yang bersaiz besar. Bonsai hanya memerlukan satu pasu cetek, serta pemangkasan cabang dan akar untuk membantutkan pertumbuhan supaya tumbuhan itu kekal kecil.

Sepertimana bonsai boleh menjadi pokok perhiasan yang menarik, tumbuhan ini juga memberi ilustrasi tentang kuasa kawalan. Memang benar bahawa kita dapat memanipulasikan pertumbuhan bonsai kerana pokok bertindak balas dengan persekitarannya, tetapi Tuhan adalah punca utama yang membuat sesuatu bertumbuh.

Tuhan berfirman kepada nabi Yehezkiel sebegini, “Aku menebang pokok yang tinggi, dan membuat pokok yang rendah meninggi” (Yehezkiel 17:24). Kata-kata Tuhan ini membayangkan peristiwa masa depan yang Dia akan “mencabut akar” negeri Israel dengan membenarkan orang Babilonia menakluki mereka. Walau bagaimanapun pada masa depan, Tuhan akan menanam sepohon pokok baru di Israel yang akan berbuah, dengan “berjenis-jenis burung” berlindung di bawah teduhnya (ayat 23). Tuhan berkata bahawa tidak kira berapa banyak peristiwa akan datang yang seolah-olah tidak terkawal, Dia tetap berkuasa.

Dunia memberitahu bahawa kita boleh cuba mengawal keadaan melalui manipulasi dan kerja keras. Tetapi kita mendapat kedamaian dan pertumbuhan yang sebenar hanya apabila kita melepaskan kawalan kepada satu-satunya Tuhan yang boleh membuat pokok bertumbuh.