Tiada seorang pun akan percaya bahawa Felipe Gustavo, seorang remaja lelaki Brazil yang berumur 16 tahun akan menjadi “salah seorang pemain papan selaju legenda di dunia.” Bapa Gustavo percaya bahawa anak lelakinya perlu mengejar impiannya untuk bermain papan selaju secara profesional, tetapi mereka tidak mempunyai wang. Oleh yang demikian, bapanya menjual keretanya dan membawa Felipe menyertai pertandingan papan selaju Tampa Am yang terkenal di Florida, Amerika Syarikat. Tiada seorang pun pernah mendengar tentang Gustavo… sehingga dia menang. Kemudian kemenangan itu membawa dia memulakan kerjaya yang menakjubkan.

Bapa Gustavo berupaya melihat hati dan minat anaknya. “Apabila aku menjadi seorang ayah,” Gustavo berkata, “Aku hanya ingin melakukan 5 peratus antara perkara yang dilakukan oleh bapa untuk aku.”

Amsal menghuraikan peluang yang dimiliki oleh ibu bapa untuk membimbing anak-anak mereka melihat cara Tuhan yang unik dalam pembentukan hati, tenaga, dan personaliti mereka―kemudian memimpin dan menggalakkan mereka ke haluan yang mencerminkan siapa mereka yang dicipta oleh Tuhan. “Ajarilah anak cara hidup yang betul,” kata penulis, “maka sampai tua pun dia akan hidup demikian” (22:6).

Kita mungkin tidak memiliki sumber yang banyak atau pengetahuan yang mendalam. Namun dengan hikmat Tuhan (ayat 17–21) dan kasih yang memberi perhatian penuh kepada anak-anak, pengaruh baik kita merupakan hadiah besar kepada anak-anak kita dan kanak-kanak lain. Kita dapat membantu mereka percaya kepada Tuhan dan mengetahui haluan yang boleh mereka ikut untuk seumur hidup (3:5-6).