Kumbang berbaju besi (Ironclad Beetle) dikenali mempunyai luaran yang keras dan mampu melindungi serangga ini daripada pemangsa. Namun demikian, salah satu jenis kumbang mempunyai tenaga yang luar biasa di bawah tekanan. Cangkerang luar kumbang yang keras itu meregang dan bukannya meretak, sebaliknya cangkerang itu akan bersambung bersama. Belakang serangga yang rata dan tidak menonjolkan juga membantunya bertahan daripada patah. Ujian saintifik menunjukkan bahawa serangga ini boleh selamat dalam tekanan mampatan yang melebihi 40,000 kali daripada berat badannya.

Sepertimana Tuhan mencipta kumbang ini lebih tahan lasak, Dia juga memberi daya ketahanan kepada Yeremia. Nabi akan menghadapi tekanan berat apabila dia menyampaikan berita yang tidak dialu-alukan oleh orang Israel, jadi Tuhan berjanji untuk menjadikannya “seperti tiang besi, dan seperti tembok gangsa” (Yeremia 1:18). Nabi tidak akan dijatuhkan, dimusnahkan, atau ditindas. Kata-katanya akan teguh kerana kehadiran dan kuasa perlindungan Tuhan.

Sepanjang hidupnya, Yeremia telah disalah tuduh, diberkas, dibicarakan, dipukul, dipenjarakan, dan dibuang ke dalam perigi―namun dia tetap hidup. Yeremia juga tetap bertahan meskipun bebanan daripada tekanan dalaman. Keraguan dan kedukaan menghantui dia. Penolakan yang berterusan dan pencerobohan Babilonia yang menggerunkan menambahkan lagi tekanan mentalnya.

Tuhan menolong Yeremia secara berterusan supaya jiwa dan kesaksiannya tidak hancur. Apabila kita berasa putus asa atas misi yang diberikan-Nya, ataupun mengundurkan diri daripada kehidupan penuh iman, kita boleh mengingati bahawa Tuhan Yeremia ialah Tuhan kita juga. Dia boleh membuat kita kuat seperti besi kerana kuasa-Nya nyata sekali pada masa kita lemah (2 Korintus 12:9).