Pada tahun 2000, sebuah syarikat permulaan Netflix yang beroperasi dengan menyewa filem melalui sistem kiriman telah membuat tawaran untuk menjual syarikat mereka sebanyak 50 juta dolar kepada Blockbuster, iaitu syarikat yang memberi perkhidmatan sewa filem dan permainan video bagi rumah-rumah yang terbesar pada masa itu. Netflix mempunyai kira-kira seramai 300,000 pelanggan, manakala Blockbuster mempunyai berjuta-juta pelanggan. Blockbuster melepaskan peluang untuk membeli syarikat pesaing kecil mereka. Hasilnya? Pada hari ini, Netflix mempunyai lebih daripada 180 juta pelanggan dan bernilai menghampiri 200 bilion dolar. Manakala Blockbuster, … syarikat ini menjadi muflis. Tiada seorang pun dapat meramalkan masa depan.

Kita tergoda untuk percaya bahawa kita mempunyai kawalan dalam hidup kita dan rancangan masa depan kita akan berjaya. Tetapi Yakobus berkata, “Kamu seperti kepulan asap, yang kelihatan sebentar sahaja lalu lenyap (4:14). Hidup adalah singkat, cepat, dan lebih rapuh daripada yang kita jangka. Perancangan memang diperlukan, tetapi sekiranya kita menganggap segalanya adalah di bawah kawalan kita, maka kita telah jatuh dalam dosa kebongkakan. Oleh itu, Yakobus memberi amaran agar kita tidak sombong dalam rancangan (kita) kerana “bercakap besar seperti itu salah” (ayat 16).

Cara untuk mengelakkan amalan yang berdosa ini adalah dengan mengucap kesyukuran kepada Tuhan. Sikap bersyukur mengingatkan kita bahawa Dia ialah sumber bagi setiap “pemberian yang baik dan sempurna” (1:17). Apabila kita mendekati Tuhan, kita meminta-Nya bukan sahaja untuk memberkati rancangan sekarang dan masa depan kita, tetapi juga menolong kita untuk turut serta dalam apa yang dilakukan-Nya. Inilah ertinya untuk berdoa, “jika diperkenankan Tuhan” (4:15).