Satu iklan rangkaian hotel menayangkan sebuah bangunan kecil berdiri teguh pada malam yang gelap. Tiada benda lain di sekelilingnya. Satu-satunya sinaran yang memancar dalam latar iklan itu datang dari sebuah lampu kecil, dekat pintu di anjung bangunan tersebut. Mentol itu memancarkan cukup cahaya untuk seorang pengunjung berjalan menaiki tangga dan memasuki bangunan. Iklan tersebut berakhir dengan ungkapan, “Lampu selalu dipasang untuk anda.”

Lampu di anjung serupa satu tanda sambutan, satu peringatan kepada pengunjung yang keletihan bahawa ada tempat selesa yang masih terbuka supaya mereka dapat singgah dan berehat. Lampu tersebut menjemput orang yang melewati tempat itu masuk dan melarikan diri dari perjalanan yang gelap dan letih.

Yesus berkata bahawa kehidupan orang yang mempercayai-Nya patut menyerupai lampu sambutan itu. Dia memberitahu para pengikut-Nya, “Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan” (Matius 5:14). Sebagai orang percaya, kita seharusnya menerangi dunia yang gelap.

Sebagaimana Dia memimpin dan menguatkan kita, “[orang lain] melihat perbuatan [kita] yang baik, lalu memuji Bapa [kita] yang di syurga” (ayat 16). Seperti kita juga memasang lampu kita, mereka akan berasa disambut untuk datang kepada kita untuk mengetahui lebih banyak tentang satu-satunya Cahaya Dunia yang sejati―Yesus (Yohanes 8:12). Dalam keletihan dan kegelapan dunia, cahaya-Nya sentiasa bersinar.

Adakah “lampu” anda sentiasa bersinar? Sebagaimana Yesus bersinar melalui anda hari ini, orang lain mungkin dapat melihatnya dan mula memancarkan cahaya-Nya juga.